MRT di Lembah Klang bermula







SURUHANJAYA Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang ditubuhkan atas objektif untuk memenuhi amanah kerajaan dalam penyediaan kemudahan mobiliti awam rakyat terutama di kawasan bandar berkepadatan tinggi akan memulakan tugas itu.



Kerja-kerja pecah tanah laluan pertama projek Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang akan dimulakan hari ini (8 Julai 2011).

Sebanyak 92 peratus daripada orang ramai yang menyertai tinjauan pendapat berhubung projek MRT menyatakan sokongan terhadap projek tersebut.

"Secara keseluruhannya, melalui pandangan awam terbabit boleh kita katakan projek MRT mendapat sokongan memberangsangkan daripada orang ramai.

''Projek MRT serta beberapa pembangunan pengangkutan darat lain merupakan antara usaha kerajaan untuk meletakkan Kuala Lumpur sebagai 20 bandar terbaik dunia,'' kata Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar yang mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Kumpulan Utusan baru-baru ini.

Rakyat mengharapkan laluan pertama projek infrastruktur itu selesai dibina pada Disember 2016 supaya perkhidmatan MRT itu dapat bermula sebulan selepas laluan siap iaitu Januari 2017. Laluan itu akan digabungkan dengan laluan KTM Komuter, LRT dan rangkaian bas transit yang sedia ada.

Tempoh pembinaan yang dirancang bagi laluan Sungai Buloh-Kajang adalah dari 2011 hingga 2016 dan apabila siap kelak ia akan menyediakan perkhidmatan kereta api kepada 1.2 juta orang di sepanjang laluan tersebut.

Projek MRT yang merupakan projek infrastruktur yang terbesar di Malaysia, adalah satu inisiatif projek permulaan (EPP) untuk Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan.

Projek MRT akan meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam berbanding pengangkutan persendirian daripada 12 peratus (%) pada tahun 2009 kepada 50% pada tahun 2020 di mana perkhidmatan rel akan menampung kira-kira 50% daripada semua perjalanan dengan menggunakan pengangkutan awam.

Penambahbaikkan mobiliti dengan projek MRT akan menjadikan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang tempat tumpuan pelaburan dan modal insan.

Projek MRT ini akan menjana sebanyak 130,000 peluang pekerjaan dalam tempoh masa pembangunannya. Projek ini juga dijangka akan menjana Pendapatan Kasar Negara di antara RM3 bilion dan RM4 bilion setiap tahun dari 2011 ke 2020, hasil daripada pembinaan dan operasi. Antara RM8 bilion dan RM12 bilion akan dijana melalui kerja-kerja pembinaan.

Laluan pertama projek MRT yang menghubungkan Sungai Buloh dengan Kajang akan melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur. Jarak laluan ini adalah lebih kurang 60 kilometer dan 35 stesen akan dibangunkan sepanjang laluan ini.

Stesen-stesen integrasi akan dibangunkan di lokasi di mana laluan MRT bersilang dengan laluan KTM Komuter, laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya dan laluan LRT Ampang.

Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang ini akan memberi perkhidmatan tren yang efisien kepada kawasan padat penduduk seperti Kota Damansara, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr. Ismail, Bukit Damansara, Cheras, Bandar Tun Hussein Onn dan Balakong. Lebih daripada 400,000 orang dijangka akan menggunakan perkhidmatan MRT tersebut setiap hari.

Kerajaan telah memilih laluan Sungai Buloh-Kajang untuk memulakan projek MRT di Lembah Klang kerana koridor ini tidak mempunyai perkhidmatan pengangkutan awam rel yang mencukupi.
SPAD sebuah agensi tunggal yang ditubuhkan oleh kerajaan juga bertujuan memperkasakan industri pengangkutan awam Malaysia.

Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 memberikan kuasa kepada SPAD bagi mencapai misinya yang antara lain memastikan pengangkutan awam darat yang selamat, boleh diharapkan, efisien, responsif, mudah diperolehi, terancang, bersepadu dan mapan mencukupi, di samping memastikan khidmat pengangkutan penumpang dengan kos yang berpatutan dan khidmat pengangkutan barangan yang kompetitif.

SPAD telah mengambil alih portfolio Jabatan Keretapi Malaysia, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan dan fungsi-fungsi perlesenan kenderaan oleh Kementerian Pelancongan di Semenanjung Malaysia.

Kabinet telah melantik Syarikat Prasarana Negara Berhad, milik penuh Kementerian Kewangan Inc, sebagai pemilik infrastruktur projek MRT, dan SPAD sebagai pihak penyelia projek tersebut.
Jemaah Menteri juga memutuskan melantik MMC-Gamuda Joint Venture Sdn. Bhd. sebagai Project Delivery Partner (PDP) untuk projek MRT.




lepas nie kite boleh la gune perkhidmatan awam je, x perlu nak menempuh JEM hari-hari. Diharapkan projek nie dilakukan dengan sebaik mungkin lah, xde rasuah sane sini. sebab projek nie bayak melibatkan pembinaan bawah tanah, kalau pape jadi susah..



SheyPull

Seorang jurutera disalah sebuah syarikat swasta yang terkemuka. Sangat pemurah untuk berkongsi segala cerita suka dan duka di dalam blog ini.

No comments:

Post a Comment

Penafian: Kami tidak akan bertanggungjawab diatas sebarang komen yang dipaparkan di ruangan komen yang kami sediakan dibawah. Sebaliknya ia adalah dibawah tanggungjawab anda sendiri. Namun kami berhak untuk menapis mana-mana komen yang berbau hasutan, lucah, kata-kata kesat atau sebagainya yang dirasakan tidak sesuai.